Pusat Internet 1 Malaysia Pekan Jelawat telah ditubuhkan sejak 2009 lagi. Dahulunya dikenali sebagai Pusat Jalur Lebar Komuniti (PJK) Jelawat. Pusat Internet 1 Malaysia Pekan Jelawat pada awalnya beroperasi di tingkat atas premis rumah kedai di Pasar Jelawat dari Oktober 2009 hingga pertengahan tahun 2015. Pada tahun 2013, nama Pusat Jalur Lebar Komuniti telah ditukarkan kepada nama baharu iaitu Pusat Internet 1 Malaysia, sempena mempromosikan gagasan 1 Malaysia yang telah diperkenalkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak. Pada Jun 2015, Pusat Internet 1 Malaysia Pekan Jelawat telah berpindah ke tempat baru yang beralamat di Lot 203, Kg. Bandar Kechil Jelawat, Belakang Madrasah Jelawat, Pekan Jelawat, Bachok, Kelantan. Pusat Internet 1 Malaysia Pekan Jelawat yang baharu kini berkonsepkan lebih segar, mesra pelanggan dan lebih selesa kerana berada di bangunan 1 tingkat dengan persekitaran yang lebih luas, selesa dan lebih cantik. Terdapat pelbagai kemudahan yang disediakan di Pusat Internet 1 Malaysia Pekan Jelawat. Selain dari capaian internet, Pusat Internet 1 Malaysia Pekan Jelawat juga ada menyediakan perkhidmatan Latihan Teknologi Maklumat & Komunikasi berkonsepkan 1Malaysia, Asas Komputer & Internet, Percetakan (Printing), Fotokopi (Fotocopy), Imbasan (Scanning), Kemasan plastik (Laminating), Sewa bilik bengkel dan semestinya menyediakan ruangan yang lebih selesa bagi proses pembelajaran teknologi masa kini.
Pusat Internet 1 Malaysia (PI1M) merupakan inisiatif oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang bertujuan menyediakan kemudahan capaian internet secara kolektif kepada komuniti tempatan khasnya di kawasan luar bandar bagi memberi pendedahan terhadap teknologi komputer dan internet setaraf dengan masyarakat di kawasan bandar. Diharapkan dengan kemudahan yang telah disediakan dapat menyumbang ke arah mencapai kejayaan dalam inisiatif kebangsaan kerajaan bagi merapatkan jurang digital diantara masyarakat bandar dan luar bandar serta meningkatkan taraf sosio-ekonomi mereka melalui beberapa perisian yang dibangunkan. Ini adalah selaras dengan matlamat Pelan Jalurlebar Kebangsaan (National Broadband Plan) dan MyICMS 886.